Jumaat, 15 Februari 2008

UMNO KELANTAN : ANNUAR MUSA, TOK PA & TG. RAZALEIGH


Pilihanraya umum ke-12 telah diumumkan oleh Pak Lah dengan pembubaran Parlimen untuk membolehkan pilihanraya diadakan. Perdana Menteri juga mengarahkan agar kerajaan negeri Membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing (kecuali Sarawak) pada tarikh yang sama.

Apa yang ingin diluahkan kali ini adalah soal kepimpinan UMNO Kelantan yang masih menjadi tanda Tanya rakyat jelata sekiranya UMNO dapat memerintah negeri selepas pilihanraya itu nanti. Rakyat Kelantan kini sudah mempunyai tiga pilihan yang boleh dikatakan terbaik dalam mengepalai rakyat negeri ini ‘sekiranya UMNO dapat mengambil-alih pentadbiran kerajaan negeri ini nanti.

Dari percakapan radio buruk rakyat negeri ini saya dapat merumuskan bahawasanya YM Tan Seri Tengku Razaliegh Hamzah adalah lebih berkaliber untuk diletakkan sebagai Menteri Besar Negeri Kelantan dan juga mengepalai UMNO negeri . Pengalaman beliau semasa di puncak kuasa dalam cabinet dan kementerian suatu masa lalu adalah amat berguna dalam melakukan satu pembaharuan yang diinginkan oleh rakyat dan negeri ini sendiri.

Bagi saya sendiri, Tok Pa dan Annuar adalah lebih baik bertanding bagi peringkat Parlimen dan mereka berdua adalah lebih layak untuk berada dalam cabinet kerajaan.

Rakyat juga lebih menghormati kepimpinan dan ketokohan yang ada pada Tengku Razaliegh. Kehadiran beliau dalam memimpin UMNO negeri boleh mengelakkan akan perpecahan dalaman yang sering berlaku. Telah dibuktikan bahawasanya UMNO Kelantan kalah kerana perpecahan dalaman yang berlaku diantara mereka sendiri.

Sudah sampai masanya Pak Lah menyuluh kepada kemampuan dan keupayaan yang ada pada Tengku Razaliegh. Suda h lama beliau menyepi dan menyepi. Namun orang UMNO dapat menerima hakikat bahawasanya Tengku Razaliegh adalah yang terbaik daripada yang ada dalam UMNO negeri selama ini.

Walau apa pun, saya tetap percaya bahawasanya kedudukan seseorang itu sama ada dalam parti atau pun dalam kerajaan adalah bergantung penuh kepada persetujuan dan perlantikan oleh Presiden atau perdana menteri.

PILIHANRAYA UMUM KE-12

PILIHANRAYA KE-12

SUMBER DARI SPR :

PENAMAAN CALON - 24 – 02 - 08
PILIHANRAYA - 08 – 03 – 08

KERUSI PARLIMEN - 222

KERUSI DUN - 505

Jumaat, 8 Februari 2008

PARTY = PARTI = PUAK = BERPECAH = ASSABIYAH = JAHILIAH


Pilihanraya Umum ke-12 akan dijalankan tidak lama lagi. Kegiatan berkempen semakin lama semakin menjadi-jadi. Persiapan demi persiapan sedang dilakukan. Bahangnya semakin lama semakin panas. Poster kempen dan bendera parti masing-masing dikibarkan bagi menunjukkan kawasan jajahan mereka. Semakin hari semakin banyak kempen dilakukan. Semakin hampir saat pilihanraya, semakin banyak kempen di lakukan. Semakin banyak bendera dan poster dinaikkan.

Namun apa yang ingin disuarakan adalah, sejauh manakah kesannya permainan politik yang diadakan di Negara ini terhadap penyokongnya atau pun terhadap rakyat jelata. Jika dahulu iaitu semasa saya masih kecil, oleh kerana taksub dengan parti politik tertentu ( tahun ’70-an & ’80-an) banyak berlakunya perkara-perkara yang diluar jangkaan sama ada terhadap pemimpin-pemimpin tertentu dan juga terhadap rakyat jelata.

Berlakunya pergaduhan, berlakunya penceraian, terputusnya tali persaudaraan, keluarga porak peranda, berlakunya fitnah – memfitnah, hasut-menghasut, berlakunya bermacam-macam lagi peristiwa yang menuju kearah kemusnahan. Perpecahan demi perpecahan, pergaduhan demi pergaduhan telah berlaku sejak dari dulu sehinggalah sekarang.

Tidak salah bermain politik. Tetapi adalah salah jika oleh kerana berfahaman parti politik tertentu telah membuatkan berlakunya perpecahan dan kemusnahan sama ada terhadap diri sendiri, keluarga atau pun terhadap rakyat jelata.

Jika dilihat pada maksud ‘PARTI’ itu sendiri, ianya mempunyai maksud yang boleh dikatakan seperti berikut : ‘pengasingan’ satu kelompok manusia daripada kelompok manusia lain. Bilamana maksud perkataan ‘PARTI’ itu sendiri membawa maksud perpecahan dan berpuak-puak, maka sesiapa yang terlibat dalamnya secara tidak langsung akan berpecah-belah sama ada sesama sendiri atau pun dengan pihak lain. Keadaan tersebut telah menyebabkan berlakunya berbagai-bagai lagi keadaan yang tidak menentu. Jika ianya tidak dikawal dengan bijak dan sebaik mungkin akan menyebabkan runtuhnya tali persaudaraan sesama kaum, bangsa, agama dan seterusnya belakunya keruntuhan sesebuah Negara itu.

Saya bukannya anti demokrasi. Saya juga bukannya rakyat yang berkecuali dalam system pilihanraya yang diadakan. Saya juga adalah salah seorang penyokong parti politik. Saya juga keluar mengundi untuk memangkah undi bagi parti-parti politik tertentu. Namun saya tidak pernah menunjukkan dengan rasa bangga bahawasanya saya adalah penyokong parti politik tertentu.

Saya tetap menjaga tatasusila dalam pergaulan sesama manusia. Tambahan mereka itu adalah sebangsa dan seagama dengan saya. Saya tidak pernah menjauhkan diri daripada penyokong-penyokong parti politik tertentu. Saya tidak pernah menyatakan bahawasanya mereka salah kerana tidak menyokong parti yang saya sokong. Saya tidak pernah memburukkan mereka yang menyokong parti politik yang tidak sealiran dengan saya. Saya tidak pernah menunjukkan pilih kasih jika mereka itu datangnya dari penyokong parti yang lain.

Tidak pernah terdetik di hati ini, rasa kurang senang dengan mereka yang datang dari parti politik yang tidak sealiran dengan parti yang saya sokong.

Kenapa saya bersikap demikian? Jawapannya adalah mudah. Hal parti adalah hal duniawi tetapi hubungan sesama manusia adalah jauh lebih besar dari itu. Tiada perbezaan siapa manusia itu. Walau sehebat mana pun kita, lahir telanjang dan akan mati menemui Yang Maha Esa di suatu masa nanti. Itulah hakikat hidup kita sebagai manusia. Sesuatu yang membawa kerugian seharusnya dielakkan. Perbalahan dan perpecahan yang berlaku kerana disebabkan oleh ‘PARTI’ adalah satu kesilapan yang besar bagi bangsa, agama dan Negara.

Rakyat jelata seharusnya bijak dalam bermain politik. Janganlah oleh kerana fahaman parti yang berbeza, menyebabkan perhubungan dan silaturrahim kita sesama manusia tidak seperti yang dituntut oleh agama.

Dengan demikian, semoga kita tidak akan berpecah-belah sesama sendiri yang se-BANGSA, se-AGAMA dan se-NEGARA. Bersederhanalah dalam segala hal. Janganlah jadikan dunia ini milik kita seorang sahaja. Masih ramai lagi manusia lain yang hidup berkongsi bersama kita.

Itulah hakikat PARTI.

KELANTAN AZAM CAPAI PENGANGGURAN SIFAR


KOTA BHARU - Kerajaan negeri berazam untuk memastikan pengangguran sifar melalui program mikro usahawan Kelantan (TAMWIL) yang diwujudkan khusus untuk rakyat negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Perindustrian dan Sumber Manusia, Zulkifli Mamat berkata, sebanyak RM1 juta dibelanjakan khusus untuk program tersebut yang memberi peluang kepada mereka yang berminat dan berkelayakan untuk menceburi bidang keusahawanan.

TOK GURU MAHU BERSARA

KOTA BHARU: Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau akan melepaskan jawatan Menteri Besar, jika Pas terus berkuasa di Kelantan selepas pilihan raya umum akan datang.

Mursyidul Am Pas itu berkata, ahli Badan Perhubungan Pas Kelantan akan diberi peluang membuat keputusan dan memilih penggantinya untuk jawatan itu menerusi undian sulit.

Katanya, sudah menjadi amalan setiap kali memenangi pilihan raya, Badan Perhubungan Pas Kelantan akan melakukan undi sulit bagi memilih Menteri Besar di kalangan mereka yang dicalonkan.

"Apabila menang kelak, saya tawar kedudukan ini (Menteri Besar) kepada orang yang dipilih secara sulit oleh ahli Perhubungan Pas Kelantan. Saya tanya semua (ahli Perhubungan Pas) siapa nak jadi (menteri besar), saya akan beri kertas kosong kepada mereka untuk namakan.

"Yang lepas (undian sulit) semua ahli minta saya (kekal menteri besar), tiada nama lain tetapi yang akan datang, saya tidak tahu," katanya kepada pemberita di pejabatnya, semalam.

Nik Abdul Aziz berkata, jika undian yang dibuat kelak menyaksikan beliau terus dipilih, beliau sedia meneruskan tanggungjawab itu walaupun sudah terbabit dalam politik Pas sejak 42 tahun lalu.

Katanya, beliau tetap bertanding pada pilihan raya akan datang dan yakin Pas mampu bertahan di Kelantan.

walaupun selepas beliau berundur daripada jawatan menteri besar atau politik.

"Keadaan itu sudah ditempuh ketika zaman Datuk Asri (Muda) yang dikatakan Pas akan lemah selepas ketiadaannya, namun hakikatnya Pas semakin kuat sehingga kini.

"Apabila saya rasa orang tak terima, saya boleh berundur kerana yakin lebih ramai orang yang lebih baik daripada saya akan muncul dalam Pas," katanya.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz berkata, negara kebajikan yang ditawarkan Pas kepada pengundi menjelang pilihan raya akan datang sebenarnya penjenamaan semula Negara Islam yang pernah dikemukakan Pas sebelum ini.

Beliau mengakui istilah negara kebajikan bertujuan memudahkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta DAP dalam menarik sokongan pengundi bukan Islam yang sebelum ini menolak Negara Islam yang dikemukakan Pas.

Nik Abdul Aziz juga mahu pemimpin dan penceramah parti itu tidak menyerang peribadi lawan, sebaliknya memberi tumpuan kepada pertentangan dasar antara parti yang diwakili.

Katanya, perbuatan menyerang peribadi dan memaki hamun bagi meraih sokongan sebenarnya tidak melambang keperibadian seorang pemimpin Islam, sebaliknya sikap buruk dan panas baran individu itu sendiri.

"Saya hanya boleh memberi nasihat, terpulang kepada mereka untuk terima atau tidak kerana masing-masing bukan lagi anak kecil yang boleh dirotan.

"Menyerang peribadi bukan kehendak Islam tetapi tindakan sendiri. Allah sendiri melarang kita memaki orang yang menyembah berhala, sebaliknya perlu diberi penjelasan mengenai kesilapan amalannya," katanya.

Khamis, 7 Februari 2008

PILIHANRAYA : JANJI-JANJI-JANJI LAGI-LAGI JANJI

PILIHANRAYA : JANJI-JANJI-JANJI LAGI-LAGI JANJI

Pilihanraya umum ke-12 akan diadakan tidak lama lagi dan seperti yang dijangkakan dan disebarkan oleh berita-berita dari radio buruk ianya akan dilakukan dalam bulan Mac (2008) nanti. Namun demikian tiada siapa yang dapat memberikan jawapan dengan tepat bila pilihanraya itu akan dilakukan nanti. Kata orang politik, Perdana Menteri Pak Lah kita masih lagi tidak mendapat ilham akan tarikh yang tepat untuk mengadakan pilihanraya tersebut tetapi masanya sudah dekat.

Semakin hari semakin hebat. Semakin hari semakin panas. Semakin hari semakin cergas kempen dilakukan. Cawangan-cawangan kini telah mengaktifkan semula fungsi mereka dalam menjalankan kempen bagi parti masing-masing. Berbagai-bagai usaha sedang dilakukan diperingkat akar umbi dengan mengumpul segala kudrat bagi persediaan menghadapi pilihanraya ke-12 nanti. Kesibukkan para YB dan konco-konconya semakin meningkat.

Namun demikian, masih tertanya-tanya di fikiran rakyat jelata adakah ‘hutang’ ( janji pilihanraya yang lepas ) telah dilunaskan atau pun belum lagi oleh wakil rakyat yang telah dipilih oleh mereka. Jika ‘hutang’ yang lepas belum dibayar, maka para YB seharusnya menggandakan usahanya dalam melunaskan ‘hutang’ yang tidak berbayar itu. Jika hutang lapuk belum dilunaskan, bagaimana pula perasaan rakyat pada seseorang YB itu yang ingin membuat ‘hutang’ yang baru.

Tidak kira mereka itu YB daripada parti pembangkang atau pun dari parti pemerintah sendiri. Jika janji yang tidak tertunai itu keluar dari mulut YB parti pembangkang, rakyat boleh menyatakan kemungkinan mereka tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk melaksanakannya dan kemungkinan tidak akan memilihnya pada PRU nanti. Tetapi keadaan menjadi sebaliknya jika janji itu datangnya daripada mulut YB daripada parti pemerintah. Rakyat jelata tahu bahawasanya kerajaan ( pemerintah ) sudah pasti mempunyai peruntukan yang sewajarnya bagi melaksanakan janji-janji pilihanraya tersebut.

Namun sekali lagi rakyat jelata ingin bertanya; Adakah YB kita sudah melaksanakan apa yang telah beliau janjikan pada pilihanraya yang lepas?

Di sini dinyatakan beberapa petikan artikel yang dikeluarkan oleh akhbar-akhbar tempatan dan kata-kata oleh pemimpin-pemimpin parti politik tertentu yang dikeluarkan berkenaan seruan kepada para YB agar melaksanakan tugas mereka dengan lebih tekun disamping melaksanakan apa yang telah mereka janjikan di suatu ketika dahulu, kini dan selamanya :-

Umno jamin tunai segala janji ( Berita Harian : 24-01-08 )

Kepercayaan rakyat, perpaduan penting tentukan kemenangan parti komponen

KUALA LUMPUR: Semua sayap Umno berjanji menyelesaikan tugas masing-masing jika ada yang belum selesai pada semua peringkat sebelum pilihan raya umum diadakan dan menyokong siapa saja yang dipilih sebagai calon.

Mereka sedar kepercayaan rakyat terhadap parti dan perpaduan amat penting untuk menentukan kemenangan besar pada pilihan raya umum ke-12 yang dikatakan semakin hampir.

a) Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ( Naib Presiden Umno )

- “Setiap ahli mesti meningkatkan usaha dalam menyelesaikan masalah dan isu dihadapi rakyat terutama pada peringkat tempatan”

- "Sepatutnya kita jangan tumpu kepada soal pilihan raya saja, sebaliknya tumpukan juga kepada kerja yang sepatutnya diselesaikan... jadi kena laksanakan,"

- "Kita semua sudah bekerja dan mengekalkan kerja dari dulu.

b) Datuk Rahman Dahlan ( Penolong Setiausaha Pemuda Umno)

- "Ada masalah yang memerlukan masa untuk diselesaikan dan pengundi kena faham. Kalau pilihan raya umum diadakan Mac ini, masalah yang dibangkitkan pada September dan Oktober patut sudah selesai,"


YB kena bijak menangi hati rakyat ( Berita Harian : 24-01-08 )

Pak Lah nasihat calon pandai bawa diri, jangan merajuk jika tidak terpilih

Seharusnya, lebih 2,000 ahli Umno yang keluar dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menyelami nasihat Presiden bahawa pilihan raya umum akan datang bukan lagi hanya tertumpu kepada cara menumpaskan pembangkang, sebaliknya untuk memenangi hati rakyat.

a) Pak Lah ( Perdana Menteri )

- "Bukan senang... kita boleh buat macam-macam janji dalam satu ayat, tetapi nak melaksanakannya mengambil masa. Bukan bermaksud kita belum melakukan apa-apa. Saya sudah mula laksanakan dan ia dalam proses pelaksanaan,"

- "Calon pilihan raya akan datang bukan saja mesti nampak bersih, malah mesti benar-benar bersih. Mereka mesti memiliki beberapa ciri penting terutama berwibawa, ada integriti serta mesti mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang di peringkat akar umbi terutama di kawasan masing-masing,".

- "Jangan ambil mudah."

b) Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ( Menteri di Jabatan Perdana Menteri )

- “Untuk menjadi wakil rakyat hanya dua perkara perlu dijaga - pertama, Perdana Menteri, yang mempunyai kuasa muktamad untuk memilih calon; kedua, pengundi yang akan mengundi mereka.”

- "Jika Perdana Menteri tidak mencalonkan, maka mereka yang berangan setinggi langit atau melobi macam nak rak, tidak akan menjadi calon.

- "Selepas menjadi calon pun, jika pengundi tidak suka dan tidak mengundi, kita tidak akan menjadi wakil rakyat,"

Janji demi janji ditabur pembangkang ( Utusan Malaysia : 24-01-08 )

KOTA BHARU 23 Jan. - Parti pembangkang mula menabur janji muluk menjelang pilihan raya dengan dakwaan mampu menyelesaikan pelbagai isu negara termasuk jenayah dan ekonomi dalam tempoh sepenggal jika diberi mandat oleh rakyat.

a) Datuk Husam Musa ( Naib Presiden Pas )

- “Yakin pakatan pembangkang mampu membawa kestabilan ekonomi dan sosial dalam tempoh masa yang singkat itu dengan formula mereka sendiri”.

- "Selain berhasrat mewujudkan negara kebajikan, kita yakin boleh selesaikan isu besar termasuk peningkatan kadar jenayah, kenaikan harga barang termasuk harga minyak dan pelbagai lagi.

b) Datuk Seri Annuar Musa ( Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan )

- "Hakikatnya Pas tidak perlu pun untuk memberi janji sedemikian kalau prestasi mereka sememangnya bagus,".

- "Setiap tahun kerajaan negeri mengalami defisit dalam hasil negerinya dan jika dilihat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini pastinya defisit semakin meningkat,".

- "Jika rakyat beri peluang kepada BN, sukan boleh menjadi agenda pembangunan utama di Kelantan. Malah, kita juga mahu Kelantan diberi peluang menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) yang kesannya sangat besar kepada kemudahan infrastruktur sukan serta ekonomi rakyat.

Khidmat yang sewajarnya patut dilaksanakan oleh YB yang telah dipilih dan yang akan dipilih pada PRU ke-12 nanti. Hutang lapuk perlu dibayar dengan seberapa segera dan jangan biarkan rakyat jelata mula bertanyakan tentang hal-hal lapuk dan mula membuat bising akan apa yang janjikan oleh YB mereka.

Persekitaran politik kini telah merubah cara dan corak pemikiran rakyat jelata tentang seseorang YB mereka. Mereka telah didedahkan dan terdedah dengan pelbagai keadaan dan suasana politik Negara. Rakyat jelata sudah pun dapat menilai sejauh mana kemampuan yang dapat diberikan oleh seseorang YB tersebut kepada mereka. mereka kini lebih sensitive terhadap isu-isu yang timbul dalam membuat penilaian terhadap seseorang YB. Tidak kira mereka itu YB dipilih dari parti pembangkang atau pun daripada parti pemerintah.

Peringkat akar umbi tidak perlu memandang jauh kerana masih ada orang yang lebih matang dan arif tentangnya. Orang kampong hanya melihat apa yang mereka perolehi jika seseorang YB itu diberi kemenangan oleh mereka. Mereka hanya ingin melihat kampong tumpah darah mereka mendapat seperti apa yang diperolehi oleh mereka yang berada di kawasan lain. Mereka ingin melihat YB mereka sentiasa mengambil berat akan nasib anak-anak muda mereka yang berada di kampong tanpa hala tuju. Mereka memerlukan seseorang yang boleh mengubah scenario kampong mereka yang serba kekurangan. Apa yang dibawa, diberi, dilakukan dan dilaksanakan oleh seseorang YB itu dikawasan mereka akan menjadi kayu pengukur oleh orang kampong.

Orang kampong tidak mahu fikir tentang permasalahan pihak kerajaan atau pun pihak pembangkang. Pergaduhan pendapat antara pemimpin pembangkang dan pihak kerajaan bukanlah isu mereka. MEREKA HANYA MAHUKAN HAK MEREKA. Hak mereka yang dijanjikan oleh YB yang dipilih oleh mereka. Hak mereka yang diminta dan dipersetujui oleh YB untuk menyelesaikannya. Hak mereka yang selama ini yang masih tidak ditunaikan oleh YB mereka. Hak mereka selaku rakyat jelata yang berusaha keras untuk memberi undi dan kemenangan kepada seseorang YB itu. Hak mereka selaku rakyat jelata.

Semoga YB yang dilantik dahulu, kini dan selamanya tidak kira dari parti pembangkang atau pun parti pemerintah harus sedar dan muhasabah diri tentang apa yang telah mereka janjikan terhadap orang kampong. Laksanakanlah dengan seberapa segera sebelum pilihanraya dilakukan dan juga sebelum sokongan dan perasaan rakyat jelata yang terguris menolak mereka secara jujur dan terang-terangan semasa pemilihan nanti.

Semoga hutang lapuk yang dijanjikan dahulu telah dapat diselesaikan oleh YB yang terpilih. Semoga tiada lagi JANJI DEMI JANJI DAN TERUS BERJANJI yang ditaburkan oleh orang politik dalam usaha memenangi dan menyedapkan hati rakyat jelata demi memenangi pilihanraya. Rakyat jelata sudah masak dan faham akan POLITIK YANG DIMAINKAN OLEH ORANG POLITIK. Dengan kata lain tipah takkan tertipu lagi.

Janganlah sampai terjadi seperti sifir berikut : JANJI - JANJI = TIN KOSONG

Selamat berjuang.

TAN SRI SYED MOKHTAR ALBUKHARY


KATA-KATA SEORANG USAHAWAN TERKEMUKA NEGARA:

1) Kejayaan dan kekayaan bukanlah untuk diri sendiri tetapi untuk dikongsi dengan golongan yang kurang berkemampuan untuk memberi peluang mereka mendapat ilmu sekaligus mengubah hidup pada masa depan.

2) Apa gunanya kerajaan melahirkan golongan korporat ( dari dasar DEB ) dan bila sampai masa untuk membalas balik kepada masyarakat, mereka menjual kepentingan, ambil duit mereka dan duduk di luar Negara – mereka ini dianggap sebagai individualis melayu yang pentingkan diri sendiri.

3) Nikmat yang kita boleh merosakkan kita. Kita kena kawal supaya nikmat tidak merosakkan kita.

4) Saya sudah merasa semua nikmat di dunia ini, Cuma mati sahaja belum rasa.

5) Adalah salah jika duit yang diperolehi daripada bantuan kerajaan dilaburkan di luar Negara. Kena balik kepada asas. Sewajarnya perlu sumbangkan kepada Negara.

6) Mencari rezeki adalah sebahagian daripada amalan. Menimba ilmu juga sebahagian daripada amalan. Bila bercakap biarlah mengikut kedudukan. Jika ada rm1 jangan kata ada rm10. Ikhlaskan diri dan bila ada kemampuan, buat kerana Allah dan tidak perlu tonjolkan diri.

7) Saya selalu tidak fikirkan diri sendiri, cuba jaga orang-orang yang terajui kumpulan

8) Yayasan albukhary menjadi tempat untuk menempatkan lebihan yang boleh rosakkan diri kita supaya dapat berkongsi dengan orang lain.

9) Jangan lupa asal diri kita walaupun kita telah pergi ke serata dunia.

10) Kita kena terus bangun supaya bangsa lain tidak pandang hina pada kita. Biar dia cerdik dan kita pun tidak bodoh, dia kaya dan kita pun tidak miskin.

11) Usaha itu bukanlah suatu yang dapat dilihat dengan cepat. Kita kena berusaha walaupun lambat.

12) Tiada perbezaan fahaman politik dalam urusan kemasyarakatan dan perniagaan

13) Orang melayu kena kuat berusaha. Sama ada Berjaya atau tidak, tidak boleh putus asa. Kalau dapat kejayaan kena bersyukur, tidak dapat pun bersyukur juga. Tiada cara mudah untuk Berjaya. Sebelum Berjaya, kita perlu melalui proses tertentu kerana sebelum Berjaya kita terpaksa mengalami bermacam-macam cabaran.

14) Kita kena kenal diri sendiri. Sebelum mengenali Allah, kita disuruh mengenali diri sendiri. – kita kena menilai diri kita dengan jujur dan tidak boleh tipu diri sendiri.

15) Untuk orang melayu maju, mereka kena kembali kepada asas dan tiada sebab untuk seseorang untuk tidak maju.

16) Kalau kita tidak sabar, kita akan dapat hasil yang tidak sabar.

17) Kerajaan yang didukung oleh UMNO memang ada polisi untuk menolong orang melayu. Tapi DEB hanya bagi orang melayu 30 peratus dan 70 peratus lagi kepada kaum lain.

18) DEB kayakan seluruh masyarakat melaysia dan member peluang terbuka kepada semua kaum dan bukan kepada orang melayu sahaja.

19) Kita kena kenal orang politik, kena ada hubungan dengan orang UMNO. Bila ada hubungan dengan UMNO ada hubungan dengan pemimpin, bila ada hubungan dengan pemimpin kita ada hubungan dengan kerajaan.

20) Syed mokhtar akan mati. Yayasan akan kekal sebagai institusi. Syarikat-syarikat perniagaan juga akan kekal diurus oleh professional yang berkelayakkan dan bukan ahli keluarga. Perniagaan perlu menyumbang kepada hasrat yayasan dalam hal-hal kebajikan. Untuk itu, perniagaan perlu diuruskan secara professional untuk memastikan ia berkekalan.

21) Perkara yang benar akan beri kita kekuatan untuk terus berusaha, jangan lari dari tanggungjawab.

Rabu, 6 Februari 2008

BUDAK U PENING LALAT

Riuh seluruh Negara bila dilaporkan oleh berita dan akhbar-akhbar utama di Negara ini tentang hasrat seorang mahasiswa yang ingin menjadi wakil rakyat. Malahan apa yang lebih menarik adalah hasrat beliau ingin melawan seorang calon yang lebih senior dan lebih berpengalaman dalam arena politik Negara dan antarabangsa. Beliau dengan bangga mengumumkan akan mencabar dato’ Mustapa Mohamed ( Menteri Pengajian Tinggi ) sebagai lawannya.

Namun demikian, terdetik di hati ini alangkah dangkalnya pemikiran seorang yang bergelar mahasiswa. Tidakkah beliau telah mengukur kemampuan yang ada pada dirinya sendiri . Tidakkah beliau sedar dengan siapa dan apa yang ada pada lawannya.

Apa yang dapat dikatakan adalah, kepala otak seorang mahasiswa telah dipusing-pusing oleh pihak-pihak tertentu sehingga menjadi pening lalat. Kenapa saya berkata demikian, ini kerana si manusia yang bergelar mahasiswa itu dengan berani dan lantang mengeluarkan cabaran kepada seorang yang jauh lebih berkaliber dalam arena ini. Perbezaannya adalah seperti langit dengan bumi.

Beliau masih mentah dalam bidang ini. beliau tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Beliau masih terkapai-kapai mencari hala tuju sendiri. Beliau masih tidak tahu ke mana arah tuju beliau selepas tamat pengajian nanti. Masih banyak perkara yang perlu beliau pelajari tentang dunia politik.

Saya juga pernah menjadi seorang mahasiswa. Saya juga pernah mengikuti perkembangan politik Negara semasa menjadi mahasiswa. Namun tidak pernah terdetik di hati untuk keluar dari sarang bagi menunjukkan kehebatan diri. Pada waktu itu, saya dan sahabat-sahabat yang lain tahu siapa kita. Kita semua sedar, kalau kail panjang sejengkal, usahkan laut dalam hendak di duga. Ukur baju di badan sendiri.

Saya tidak memperlekehkan apa yang ingin diperkatakan serta dibawa oleh saudara Amirul Faiez Hamdi. Saya juga tidak mahu menghalang beliau dari menyertai parti politik. Namun, apa yang boleh dikatakan adalah belum sampai masanya untuk beliau berkecimpung dalam arena politik Negara. Beliau seharusnya bersabar dan peluang untuk itu akan lebih terbuka apabila beliau keluar dari university nanti.

Sepanjang saya berada di university, apa yang dipanggil AUKU 1975 itu tidak pernah mengganggu segala gerak-geri saya selaku seorang rakyat yang bebas dan merdeka. Pelajar masih lagi dibenarkan untuk bergiat dalam politik kampus dan masih lagi mempunyai suara untuk menyuarakan apa yang mereka tidak puas hati semasa dalam tempoh pengajian mereka itu. Politik kampus yang dibenarkan itu sebagai satu latihan terhadap mana-mana mahasiswa yang ingin terlibat dalam politik sebenar sebelum beliau menceburkan diri dalam dunia politik Negara selepas tamat pengajian itu nanti.

Tidak kira mereka itu datang dari keluarga atau pun mereka sendiri yang mempunyai ideology pada parti-parti politik tertentu. Mereka seharusnya sedar dan berdiri teguh pada objektif utama mereka berada di university. Mereka seharusnya tidak terpengaruh dan condong terhadap mana-mana parti politik di Negara ini. mereka harus bijak menilai setiap maklumat-maklumat yang disalurkan kepada mereka sama ada ianya datang dari parti pemerintah atau pun dari parti pembangkang.

Kalau pun beliau dapat menjadi wakil rakyat. Apa yang beliau boleh lakukan untuk rakyat. Adakah beliau mempunyai masa untuk melawat kawasan yang dimenanginya dengan kapasiti yang beliau ada. Adakah beliau berkeupayaan dalam membawa perubahan kepada rakyat yang menyokongnya. Adakah beliau boleh lakukan yang lebih baik daripada apa yang telah dilakukan oleh wakil rakyat sedia ada.

Jika perjuangan mereka adalah disebabkan oleh AUKU 1975 semata-mata. Tidak payahlah bercita-cita hendak menjadi wakil rakyat. Isu tersebut hanyalah seperti di hujung kuku sahaja jika dibandingkan dengan isu-isu lain yang sepatutnya diketengahkan. Boleh dikatakan perjuangan mereka itu hanyalah tertumpu kepada isu yang sempit sahaja. kalau pun beliau memenangi pilihanraya, dan AUKU 1975 diubah atau pun di hapuskan, adakah ia boleh membawa kepada perubahan yang besar terhadap keseluruhan system di Negara ini. Adakah ianya akan memberi banyak faedah terhadap rakyat jelata. Jawapannya sudah tentu TIDAK. Maka di sini, sudah jelas kepada kita bahawasanya perjuangan PNM adalah satu perjuangan yang sempit yang tidak menguntungkan mana-mana pihak yang menyokongnya. Mereka tidak menyokong untung nasib mana-mana bangsa dan kaum dalam Negara.

Parti Mahasiswa Negara (PNM) yang ditubuhkan oleh mereka itu tidak ubah seperti satu pertubuhan NGO atau pun boleh dikategorikan seperti satu pertubuhan yang ditubuhkan dalam university atau mana-mana pertubuhan bebas bagi melakukan satu-satu aktiviti sahaja.

Bagi saya selaku rakyat jelata; tidak kira wakil rakyat saya itu datangnya daripada parti pemerintah atau pun daripada parti pembankang, apa yang penting adalah apa yang boleh beliau sumbangkan kepada agama, bangsa dan Negara. Saya terus terang akan menolak seseorang wakil rakyat yang tidak berkeupayaan sama ada dalam meningkatkan keupayaan bangsa dan agama atau pun dalam meningkatkan taraf kehidupan rakyat jelata yang berada dalam kawasannya. Tidak kira mereka itu dari parti pemerintah atau pun daripada parti pembangkang.

Akhir kata, tidak kira seseorang pelajar itu berideologi parti pembangkang atau pun parti pemerintah, tindakan mereka untuk menyertai mana-mana parti politik adalah tidak kena pada tempatnya. Mereka harus sedar bila fikiran mereka menjadi celaru, tumpuan mereka sedikit sebanyak akan beralih dan dengan sendirinya akan menganggu tujuan utama mereka itu sebagai seorang yang masih lagi bergelar mahasiswa.

JANGANLAH SAMPAI MENJADI SEPERTI KATA ORANG TUA-TUA, YANG DIKEJAR TIDAK DAPAT MANAKALA YANG DIKENDONG PULA BERCICIRAN.

JAMBATAN KEDUA KOTA BHARU

HARAKAH ( 25-01-08 )

KOTA BHARU: Selepas lebih lima bulan berlalu, jambatan Sultan Yahya Petra kedua yang diuar-uarkan sebelum ini, tidak pun kelihatan kerja-kerja pembinaannya serius dijalankan sekarang.

Sedangkan ketika perasmian pecah tanah projek itu 2 Ogos lalu Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S Samy Vellu memberi amaran mahu menghentikan kontraktor yang gagal menyiapkan kerja mengikut jadual.

"Cepat ikut jadual... saya setuju, tapi biar kemas dan elok supaya selepas itu, tak payah kita nak baiki apa yang rosak pula," katanya pada perasmian upacara pecah tanah Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra di Lembah Sireh oleh Perdana Menteri.

Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pula mempertahankan kenyataan Samy Vellu, di mana katanya kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual memang patut diberhentikan.

Pembinaannya mengikut jadual asal dikatakan akan mengambil masa 30 bulan dan telah dimulakan pada 18 Jun lalu dan dijangka siap 19 Jun 2009. Jambatan itu sepanjang 843 meter.

Jambatan berkenaan dijangka mempunyai enam lorong. Selain itu ada struktur bertingkat akan dibina dari jambatan sehingga ke simpang di Dusun Muda.

Pembinaan jambatan itu dilaksanakan dalam tiga fasa oleh Konsortium I.S (M) Sdn Bhd atau Redland Sdn Bhd, milik seorang pemimpin Umno Tanah Merah.

Namun, apa yang diingatkan menteri seperti sudah berlaku sekarang. Sedangkan sebelum ini kontraktor utama dikatakan mendapat projek bernilai berbilion.

Mengikut penduduk, hanya kelihatan lima orang sahaja pekerja kebanyakannya dari Indonesia yang bekerja di tapak pembinaan jambatan itu sekarang.

"Sejak selepas pecah tanah, tidak nampak pun pembinaan jambatan itu serius dilakukan. Sepanjang tinjauan saya ke tapak pembinaan hanya kelihatan lima pekerja sahaja.

"Pembinaannya tidak serius. Bagaimana hendak siap mengikut jadual asal sebagaimana diberitahu menteri sebelum ini," kata Penghulu Mukim Kampung Sireh, Wan Ismail Kadir.

Menurutnya pembinaan jambatan itu seperti tersembunyi agenda politik kerana hanya pada peringkat awal sahaja diuar-uarkan bagi menggambarkan kerajaan BN mampu melakukan apa sahaja.

Apa puncanya masalah itu berlaku. Di sebalik tersembunyi masalah tersebut, difahamkan projek pembinaan jambatan Sultan Yahya kedua ada agenda lain yang lebih besar.

Difahamkan setiap Ketua Pemuda Umno di Kelantan mendapat habuan sebanyak RM300,000 sebagai modal bagi menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.

Malah ada sumber memberitahu ketua-ketua bahagian Umno juga mendapat manfaatnya daripada projek tersebut, biar pun asalnya di atas nama projek untuk rakyat.

Persoalannya dari mana begitu banyak wang tersebut diperolehi dengan begitu mudah. Andaian mudah dapat dilihat, kos keseluruhan projek tersebut sebanyak RM143 juta.

Namun bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato' Ibrahim Ali memberitahu projek pembinaan jambatan itu sebenarnya sebanyak RM93 juta.

Ini bermakna terdapat lebihan daripada kos sepatutnya sebanyak RM50 juta. Dan duit yang diagih kepada ketua-ketua pemuda berjumlah RM4.2 juta dan selebihnya milik ketua bahagian dan Perhubungan Umno Negeri.

"Secara jelas dapat digambarkan projek pembinaan Jambatan Sultan Yahya kedua merupakan kaedah terbaik bagi Umno untuk menggunakan wang kerajaan bagi menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi," kata seorang bekas anggota jawatankuasa Umno bahagian.

Selain pembinaan jambatan tersebut Kelantan juga diuar-uarkan mendapat projek baru melibatkan peruntukan sebanyak RM570.1 juta termasuk membina jalan raya Kota Bharu – Kuala Krai, jambatan dan jalan raya di Bukit Bunga, Jeli; jalan pintas di Pasir Mas; memperelokkan jalan Pasir Puteh – Gong Kulim – Tok Bali serta membaiki jalan raya Kota Bharu – Kuala Terengganu.

Projek pembangunan politik juga dapat dilihat apabila pembinaan semula jambatan di Tendong dan berdekatan Bukit Panau di laluan Pasir Mas – Tanah Merah masih terbengkalai sehingga sekarang.

Kedua-dua jambatan itu sudah lebih dua tahun terbengkalai sehingga menyusahkan pengguna jalan raya kerana terpaksa menggunakan jambatan sementara dalam tempoh begitu lama.

Difahamkan anugerah projek membina jambatan itu diberi kepada seorang kontraktor yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Umno. - tajdid

Jumaat, 1 Februari 2008

MASJID ATAU PUSAT GERAKAN

Tidak salah bagi kita menyokong dan taksub terhadap satu-satu parti tertentu, tetapi jika masjid dipergunakan untuk kepentingan parti-parti tertentu sudah tentu ia telah menjadi satu perkara yang perlu dipandang serius oleh rakyat atau pun pemimpin-pemimpin parti politik di Negara ini.

Gambar di atas dapat memberi banyak gambaran tentang scenario politik di Negara ini yang tidak dapat membezakan diantara pegangan asas bangsa melayu yang beragama islam itu sendiri. Oleh kerana taksub terhadap parti politik tertentu, mereka dengan sengaja meletakkan bendera tersebut di masjid bagi menyatakan bahawasanya mereka adalah penyokong dan terus menyokong agama islam. Namun demikian, apa pula kata mereka yang menyokong parti lain yang juga berbangsa melayu dan beragama islam?? Sudah tentu terdetik di hati mereka satu perasaan dan kata-kata yang tidak dapat diluahkan semasa mengunjungi masjid berkenaan bagi menunaikan tanggungjawab terhadap yang Maha Esa.

Seharusnya tempat-tempat ibadah terutamanya masjid tidak diletakkan tanda-tanda parti tertentu. Mereka yang mengunjungi masjid tersebut bukannya datang untuk mendengar ceramah parti-parti tertentu dan bukan juga untuk memangkah undi bagi memberi sokongan terhadap parti-parti politik tertentu. Mereka datang kemasjid hanya untuk beribadat dan berserah kepada Yang Maha Esa Yang Satu.

Tidak kira mereka itu datangnya dari parti politik yang berbeza, namun kedatangan mereka ke masjid hanya untuk menunaikan kewajipan mereka kepada Yang Maha Esa.


Begitu juga dengan gambar di atas. Gambar tersebut menunjukkan tentang pembinaan sesebuah masjid di salah satu kampong yang terdapat di Negeri Kelantan. Begitu banyak bendera parti politik diletakkan sama ada pada kerangka bangunan atau pun di sekeliling kawasan pembinaan tersebut.

Sesungguhnya perlakuan tersebut adalah tidak kena pada tempatnya. Jika markas parti yang hendak dibangunkan tidak mengapa. Tetapi bangunan yang hendak dibina adalah masjid yang akan menjadi tempat beribadat bagi semua manusia yang menganut agama islam.

Jika benar sekali pun peruntukkan pembinaan masjid itu datangnya dari sumber parti-parti politik tertentu, mereka tidak perlulah membuat sesuatu yang boleh dikatakan tidak berapa cerdik. Mereka sepatutnya tidak menunjuk-nunjuk bahawasanya pembiayaan pembinaan sesebuah rumah ibadat itu disalurkan oleh pihak mereka. Tidak kira sumber kewangan itu datangnya dari parti politik seperti PAS, UMNO, PKR, BEBAS dan sebagainya lagi. Tidak payahlah menunjuk-nunjuk bahawa masjid itu adalah dibina oleh parti mereka.

Gambar tersebut seolah-olah memberitahu kita bahawasanya masjid yang bakal siap itu adalah untuk mereka yang menyokong parti politik tersebut sahaja bagi menunaikan ibadat. Masjid itu kepunyaan mereka.

Seharusnya masjid atau tempat-tempat beribadah tidak dijadikan alat atau tempat untuk parti-parti politik tertentu melakukan kempen pilihanraya mereka. Tidak kira mereka itu datangnya dari parti UMNO, PAS, PKR, BEBAS dan sebagainya.

Jauhkanlah unsur-unsur keduniaan dari tempat-tempat ibadah. Bebaskanlah masjid kita. Marilah kita sama-sama membinanya dan marilah kita sama-sama melakukan ibadat di dalamnya tanpa rasa wujudnya unsur-unsur kepartian terhadap parti-parti politik tertentu di dalam hati manusia yang beragama islam di Negara ini ketika mengunjungi masjid-masjid yang terdapat di Negara ini.