Selasa, 3 Mac 2009

DATUK IBRAHIM ALI – Bebas...Bebas dan Bebas.

Telah dinyatakan sebelum ini tentang Datuk Ibrahim Ali. Siapa tidak kenal dengan beliau. Seorang yang diberi dengan kepelbagaian gelaran. Gelaran yang tidak sepatutnya diberikan oleh seseorang manusia. Seingat saya gelaran itu diberikan kepada beliau oleh orang-orang Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan niat memburukkan nama beliau dipersada dunia politik ketika itu, kini dan selamanya. Ketika itu sikap beliau amat tidak disukai oleh penyokong parti PAS kerana kelantangan beliau terhadap parti tersebut.

Tetapi tidak disangka-sangka, musuh ketat boleh menjadi kawan. Menjadi kawan semasa PRU-12. Beliau bertanding sebagai ahli BEBAS yang bertiket-kan parti PAS. Beliau telah menang dan melayakkan beliau menjadi ahli parlimen Pasir Mas.

Kelantangan beliau sebagai ahli BEBAS dalam dan luar Parlimen telah memanaskan telinga dan hati sesetengah orang. Beliau seorang yang berfikiran BEBAS. Bercakap di atas kebenaran dan fakta. Tidak memihak kearah mana-mana parti atau ideology politik.

Apa yang salah dihentam secukupnya. Ditegur dan diberi nasihat. Itulah yang dikatakan seorang pemimpin yang bermaruah. Beliau tidak terikat dengan mana-mana parti.

Tidak salah saya katakana di sini. Rakyat jelata sudah muak dengan mainan dan lakonan ahli politik. Tidak kira mereka dari parti kerajaan atau pun pakatan rakyat. Bercakap hanya untuk menyedapkan telinga rakyat dan diri sendiri sahaja.

Aliran pemikiran rakyat yang semakin tidak mempercayai mana-mana parti politik sedang menjalar di Negara ini. Rakyat jelata sedang menolak apa sahaja yang diperkatakan oleh kedua-dua belah pihak.

Jika sebelum PRU-12 mereka amat tidak menyukai dan tidak mempercayai parti BN ( kerajaan ). Mereka telah membahagikan sama rata diantara parti kerajaan dan pembangkang. Mereka memberi peluang kepada parti dari pakatan rakyat untuk memerintah di beberapa negeri.

Mereka mengharapkan satu paradigma yang baru akan berlaku. Tetapi apa yang diimpikan tidak kesampaian. Keadaan menjadi celaru. Bertambah kusut dan semakin menjadi-jadi. Tiada lagi semangat professional dalam muka pemimpin dan ahli politik. Negara ini bagaikan kepunyaan mereka. Bercakap ikut suka hati mulut. Tidak mempedulikan nilai-nilai asas dalam pembinaan dan penubuhan Negara ini.

Saya percaya semakin ramai rakyat jelata sedang dan menelitili dan melihat perkara ini. Mereka akan beralih kepada PARTI-PARTI BEBAS dalam pilihanraya akan datang. Kepercayaan mereka terhadap parti-parti yang wujud pada masa kini semakin menipis.

Berbalik kepada Datuk Ibrahim Ali, saya secara peribadinya tidak bersetuju jika beliau kembali kepada UMNO. Sebelum ini beliau sendiri dicaci dan dibenci oleh orang UMNO kerana politik cah keting dalam UMNO. Beliau dipinggirkan secara sistematik oleh orang UMNO. Walhal beliau adalah orang yang paling berjasa di kawasannya. Tetapi UMNO tetap UMNO ( seperti kisah Dato’ Idris Jusoh dari Terengganu yang berjasa tetapi disisihkan kerana kecemerlangannya ).

Saya juga tidak bersetuju jika beliau bersatu dengan parti Pakatan Rakyat ( PAS-DAP-PKR ). Pakatan yang masih tidak stabil dan bercelaru. Pakatan yang masih mengguna pakai isu politik murahan dan tidak beretika dalam meraih undi.

Kedudukan beliau sebagai ahli bebas adalah lebih disenangi oleh rakyat jelata. Rakyat hanya mahukan cerita sebenar tentang apa yang berlaku. Cerita dari orang yang tidak terikat kaki tangan mulut dan perut sama ada dengan parti pemerintah atau pun daripada parti pakatan rakyat.

Rakyat lebih mempercayai orang BEBAS.

0 ulasan: