Rabu, 3 Februari 2010

WAJIB LULUS INGGERIS



TS Muhyiddin selaku Menteri Pendidikan telah mengumumkan syarat baru dalam sistem pendidikan Negara iaitu syarat wajib lulus matapelajaran bahasa inggeris dalam peperiksaan sijil pelajaran Malaysia (SPM).

Cadangan tersebut amatlah baik dan boleh dikatakan satu pendorong kepada pelajar untuk meningkatkan usaha dan sekaligus menguasai matapelajaran tersebut.

Namun demikian, satu kajian menyeluruh perlulah dilakukan terhadap kesan yang akan dialami oleh pelajar terhadap cadangan tersebut. Kesan sama ada secara positif atau pun negative. Kesan jangka pendek atau pun jangka panjang. Kesan terhadap pelajar dan guru.

Seperti dasar pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains yang telah dilaksanakan sebelum ini. Dasar yang dilaksanakan tanpa kajian dan perlaksanaan yang menyeluruh amat merugikan sekali.

Rugi dari segi masa, tenaga dan juga kos. Walau pun objektif utamanya amatlah baik, tetapi perlaksanaannya telah menggagalkannya.


Saya bercakap dari segi pengalaman saya semasa dibangku sekolah rendah atau pun sekolah menengah. Dilahir dan dibesarkan dikawasan pendalaman menyebabkan saya serta rakan-rakan lain boleh dikatakan ketinggalan dalam menguasai matapelajaran tersebut.

Kenapa ianya terjadi??? Kerana kami semua tidak didedahkan semaksimum mungkin tentang betapa pentingnya akan mata pelajaran tersebut. T

iadanya kesedaran yang wujud dalam diri kami semua mengapa kami perlu menguasainya. Kami dibiarkan bersendirian tanpa bimbingan yang sewajarnya sama ada oleh pihak sekolah, ibu bapa atau pun keadaan sekeliling.


Kemudahan pendidikan dahulu tidak sama dengan zaman kini. Tetapi tahap pemikiran orang melayu terutamanya yang berada di pendalaman tidak banyak berubah. Tahap kesedaran mereka terhadap perubahan persekitaran dan keperluan semasa masih diperingkat yang amat rendah sekali.

Berbalik kepada cadangan tersebut, jika syarat wajib lulus itu diwartakan ianya seperti kes jatuh hukum tanpa perbicaraan yang sewajarnya terhadap seseorang pelajar tersebut.

Mana-mana pelajar yang gagal akan menghadapi masa depan yang gelap kerana disebabkan oleh persekitaran yang tidak adil yang dilaluinya semasa persekolahan.


Tidak adil dari segi kemudahan pembelajaran, dorongan dan kesedaran tehadap matapelajaran tersebut.

Jika syarat wajib diberikan kepada pelajar, maka saya cadangkan satu penilaian terhadap mana-mana guru yang mengajar subjek tersebut.

Penilaian yang akan mengukur kebolehan serta komitmennya dalam menghasilkan pelajar yang cemerlang atau lulus matapelajaran tersebut. Kegagalan pelajar merupakan kegagalan guru tersebut.


Penilaian tersebut ditujukan kepada guru-guru bahasa inggeris atau sekolah-sekolah tertentu dalam memastikan mereka benar-benar melaksanakan tugas mereka sebagai guru.

Kecemerlangan pelajarnya merupakan satu bonus kepadanya yang boleh diberikan dalam bentuk kenaikkan pangkat atau pun gaji.

Tetapi jika kegagalan pelajarnya melebihi kecemerlangan, maka beliau seharusnya bertanggungjawab terhadapnya. Tindakan seperti menahan kenaikan gred, menurunkan gred, tidak diberikan bonus, ditukarkan dan sebagainya perlu diambil.


Saya percaya, guru yang professional akan dapat melahirkan pelajar yang cemerlang. Penguasaan bahasa inggeris saya dipulihkan oleh seorang guru berbangsa india semasa saya belajar di matrikulasi sains bukit mertajam. Cara yang diguna-pakai oleh beliau amat berkesan sekali dalam memberi sinar harapan kepada saya sebelum melangkah ke bidang kejuruteraan di university.

Jika di sekolah kampong, sampai bila pun saya tidak akan ada peluang untuk pergi lebih jauh seperti hari ini.

Jadi, satu cadangan yang baik perlu dilaksanakan dengan seadanya. Jalan perlaksanaan perlulah diteliti terlebih dahulu bagi mengelak bencana yang bakal menimpa di suatu masa nanti. Jika syarat diberikan kepada pelajar dan berikanlah juga syarat kepada sekolah atau guru agar ianya tidak menghancurkan masa depan seseorang pelajar. terutamanya pelajar melayu.

Ahad, 19 Julai 2009

UPSR – Penilaian semula



Saya tertarik dengan cadangan pemansuhan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim. Saya cukup bersetuju dengan kata-kata beliau bahawasanya UPSR hanya dijadikan medium untuk mendapat tempat di asrama penuh semata-mata.

Bagi mereka yang pernah menonton drama cikgu Limau Kasturi, sudah pasti dapat memahami akan kesulitan yang dihadapi oleh saya dan rakan-rakan sekampung semasa di sekolah rendah dahulu. Pergi ke sekolah seawall pukul 5.00 pagi dan pulang pada jam 12.00 tengahari ( itu dahulu ).

Saya juga ingin memberi pandangan mengenai apa yang telah saya hadapi semasa di sekolah rendah di suatu ketika dahulu. Saya mengaku bahawasanya keputusan UPSR saya adalah teruk sekali. Keputusan itu telah menidakkan saya untuk mendapat tempat di mana-mana sekolah berasrama penuh dan keputusan itu juga telah menyebabkan saya diletakkan di kelas ‘terakhir’ semasa di tingkatan satu.

Namun demikian, selepas keputusan peperiksaan Penilaian menegah Rendah (PMR) diumumkan, saya telah layak untuk memasuki kelas aliran sains dan ini telah mengubah sejarah hidup saya keseluruhannya.

Apa yang saya ingin tuliskan kali ini adalah, UPSR bukanlah satu-satunya kaedah dalam menentukan kecermerlangan seseorang pelajar itu terutamanya bagi pelajar di luar Bandar yang tidak mendapat pendedahan serta pendidikan yang setara dengan mereka yang berada di Bandar.

Walaupun kita mempunyai system pendidikan yang dikatakan terbaik, namun halangan-halangan tertentu yang dihadapi oleh pelajar di luar Bandar telah menyebabkan kebolehan serta kemampuan mereka yang sebenar tidak dapat diserlahkan melalui UPSR tersebut.

Penilaian tentang kemampuan atau pencapai oleh seseorang pelajar yang diterjemahkan melalui peperiksaan UPSR yang diwajibkan ketika pelajar ditahap enam ( darjah 6 ) boleh dikatakan sudah terlambat dalam kontek “memberikan penilaian sebenar” terhadap kemampuan seseorang pelajar tersebut.

Saya bukannya menyokong akan cadangan tersebut, tetapi apa yang ingin saya katakan adalah ; Semoga pihak Kementerian Pendidikan dapat melakukan atau memperkenalkan sesuatu kaedah yang lebih realistic dalam proses penilaian atau menilai akan kemampuan sebenar seseorang pelajar terutamanya bagi mereka yang berada di luar Bandar.

Sesuatu cara yang lebih adil dan sama rata dalam memberi peluang kepada pelajar dari luar Bandar untuk mencapai cita-cita ke menara gading.