Sabtu, 5 April 2008

Ladang sungai terah sasar hasil berganda


UTUSAN MALAYSIA : 04-04-2008

GUA MUSANG 3 April – Ladang Sungai Terah, sebuah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PINK) menyasarkan peningkatan pengeluaran kelapa sawit melonjak sekali ganda kepada 60,000 tan tahun ini.

Pengurus Besar Ladang Sungai Terah, Zazali Japar berkata, ini berikutan sebahagian besar daripada tanaman di kawasan seluas 3,000 hektar itu sudah mulai mencapai usia kematangan.

‘‘Secara puratanya, ia disasarkan mengeluarkan hasil 20 tan metrik sehektar. Ladang yang mula mengeluarkan hasil enam tahun lalu itu sebelum ini mengeluarkan 30,000 tan setahun.

‘‘Pengeluaran hasil digerakkan melalui penggunaan 500 tenaga kerja asing,” katanya semasa berucap di majlis penyerahan lima buah traktor di perkarangan pejabat Ladang Sungai Terah di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pemasaran Peralatan Pertanian Sime Kubota Sdn.Bhd., Abd. Kadir Karim dan Pengarah Urusan Minda Agrimachinery Sdn. Bhd., Zulkifli Daud.

Menurut Zazali, pihaknya kini secara beransur-ansur meningkatkan penggunaan jentera terutamanya bagi mengangkut buah kelapa sawit.

‘‘Seramai 12 pekerja diperlukan untuk mengeluarkan buah bagi setiap hektar tanaman kelapa sawit.

‘‘Tetapi jika menggunakan jentera, hanya seorang sahaja buruh diperlukan bagi mengendalikan kawasan seluas kira 20 hektar,” katanya.

Beliau memberitahu, penggunaan traktor yang mempunyai 45 kuasa kuda, mampu membawa keluar kira-kira tiga tan metrik sehari tanpa merosakkan jalan-jalan ladang.

Dalam tempoh jangka panjang katanya, penggunaan jentera mampu mengurangkan penggantungan kepada tenaga buruh asing.

0 ulasan: