Khamis, 10 Januari 2008

RETORIK AGAMA TIDAK AKAN MAJUKAN KELANTAN


( Berita Harian : 10/01/08 )

Oleh Dr Alias Mohamed

SEPANDUK, pintu gerbang dan hiasan bermotifkan Islam di jalan raya memberi ingatan berguna kepada orang ramai. Namun tanpa pelaksanaan sebenar hukum Islam, semua ini mengaburi mata rakyat dan kosmetik bertopengkan agama.

Simbol dan slogan atau retorik agama tidak akan membangunkan rakyat bersama Islam, malah membuka laluan kepada keruntuhan dan kekufuran. Pas sudah berkali-kali berjaya dengan cara ini dan akan meneruskan amalan buruk ini semata-mata untuk memenangi pilihan raya.

Motif mereka sebenar ialah untuk mengekal dan menambahkan kerusi kemenangan pada pilihan raya dan selepas itu merangka slogan agama untuk selama empat atau lima tahun akan datang. Tiada asas lain bagi Pas untuk berkuasa, kecuali semata-mata kerana kepentingan diri menerusi platform agama.

Mereka tidak peduli jika terpaksa berbohong dan memutarbelitkan janji mereka yang dihamburkan sebelum berkuasa dulu mengenai kewajipan kepada agama dan rakyat asalkan mereka dapat berkuasa serta menang beberapa kerusi.

Mereka menjadikan manifesto sebagai alat untuk berjanji sebelum berkuasa, walaupun mereka tidak ada kapasiti dan kemampuan untuk menunaikannya.

Selepas berkuasa, mereka tidak akan menyebut atau merujuk lagi kepada janji manis dan harapan tinggi dalam manifesto. Jika hendak membina sebuah masjid pun disuruh rakyat menyediakan tanah dan wang, apa erti manifesto parti? Siapakah yang munafik?

Kemunduran ekonomi rakyat Kelantan menyebabkan rakyat menuduh pemimpin Pas sebagai pentadbir yang mundur, lemah dan tiada visi. Malah sebenarnya mereka amat memalukan orang Melayu.

Yang kaya dan mewah tetap juga orang lain dalam negeri ditadbir orang Islam. Mereka membanjiri lot kedai dan komersial yang dibina tanpa menampakkan perubahan di kalangan pemilik dan peniaga Melayu.

Apakah yang sebenarnya berubah sesudah Kelantan berpindah daripada tangan Barisan Nasional (BN) ke tangan Pas sejak 18 tahun lalu? Apakah rakyat membangun bersama Islam? Yang jelas dan pasti membangun di Kelantan ialah ekonomi bukan Melayu. Bilangan mereka juga semakin meningkat.

Sebenarnya, apa yang dilaksanakan Pas di Kelantan tidak selaras dengan slogan dan propaganda agama pemimpinnya, berbanding Umno yang sudah lama melaksanakan dasar untuk memantapkan kedudukan Islam dalam negara dan kehidupan rakyat.

Sekiranya Kelantan tidak begitu mundur, ia akan menerima banyak perubahan daripada kegiatan pelbagai macam industri dan kegiatan ekonomi. Tetapi semua ini tidak akan terjadi kerana pemimpin Pas memilih untuk mundur.

Disebabkan taksub kepada kuasa bahkan jahil dalam kemahiran serta pengalaman untuk mentadbir negeri secara moden dan melaksanakan undang-undang Islam secara progresif, proaktif, Pas menyelewengkan pentadbiran untuk memperkasakan politik partinya.

Sebab itu, mereka begitu sukar menyalurkan pentadbiran Sekolah Agama Rakyat (SAR) kepada pentadbiran kerajaan Persekutuan yang lebih terjamin. Pas melakukan semua ini kerana kemunduran dan kelemahan ekonomi adalah aset penting partinya untuk terus berkuasa. Kini parti ini menggunakan modal insan di kalangan pelajar SAR untuk mengehadkan pengaliran ilmu.

Pemimpin Pas pada hakikatnya bimbang akan kehilangan kerusi kerana kehilangan kerusi bermakna kehilangan pendapatan dan mata pencarian sebagai wakil rakyat. Tidak munafik jika mereka menggunakan agama dan ayat al-Quran untuk menang atau jika mereka memesong dan mengelirukan fikiran rakyat untuk mengekalkan kuasa.

Malangnya, mereka ini tidak berasa berdosa dan bersalah mengkafir serta memfitnah atau menggunakan alasan agama palsu supaya pengundi tidak mengundi BN. Adakah dengan merujuk kepada agama, Kitabullah dan Sunnah, maka pemimpin Pas dengan sendirinya mengambil alih tanggungjawab Tuhan?

Mentadbir sebuah negeri dan mengurus kebajikan serta ekonomi rakyat memerlukan kepakaran khusus, lebih daripada kepakaran tok guru dan tok alim. Pas menganggap mentadbir negeri atau negara dan menukar corak pentadbiran kepada pemerintahan ala ‘negara Islam’ seperti menggosok lampu Aladin.

Rakyat tidak selama-lamanya boleh hidup dengan simbol, janji dan slogan agama. Pas sudah diberi peluang memerintah Kelantan selama 35 tahun. Apa yang ada? Orang Islam di bawah pentadbiran Pas tidak akan berupaya berdepan dengan masyarakat yang lebih maju, seperti Cina.

Malah, sengketa orang Islam yang dicetuskan Pas berpunca daripada isu agama akan menyokong pandangan untuk memundurkan lagi dan tidak membangunkan orang Islam. Fatwa kerajaan disanggah dan diperlekehkan.

Hanya fatwa pemimpin Pas menjadi hukum. Semua ulama kerajaan disamakan dengan terompah kayu, hanya ulama mereka yang fundamental dan maksum. Apakah Islam hak orang Pas saja?

Pemimpin Pas membina benteng pejal supaya boleh berselindung di sebalik hukum yang mereka cipta. Mereka membentuk puak dan kelompok tidak diberi ujian perbahasan di kalangan ulama. Sebaliknya, mereka menjauhkan diri daripada perbahasan mengenai isu ekonomi dan pendidikan kerana isu ini akan mendedahkan penyelewengan mereka di mata rakyat.

Kepada orang yang tidak berpengetahuan dalam bidang agama, pendapat pemimpin Pas ialah sebenarnya hukum. Lebih banyak penyelewengan agama yang dilakukan, maka lebih baik kepada pengaruh mereka di kalangan rakyat yang kurang asas agama.

Sepatutnya mereka menggunakan hukum-hakam dalam Islam untuk bertempur dengan fikiran intelektual Islam dan pakar agama bagi memerangi kemiskinan, khurafat, kemunduran, dualisme, ketidakadilan serta kezaliman.

Tetapi mereka tidak bersedia memasuki bidang ini kerana bidang ini tidak memberi pulangan segera yang terjamin seperti menjadi wakil rakyat. Malangnya, masih ada orang Islam di kalangan mereka yang memberi pendapat sendiri.

Mereka begitu taksub mengembang dan memperluaskan pengaruh politik kepartian daripada mimbar masjid. Apatah lagi apabila hujah khatib tidak dapat diserang balas oleh makmum yang mendapati pendapat mereka itu salah.

Dengan taktik memperalatkan agama, mereka mungkin berjaya. Tetapi kejayaan yang lebih besar ialah Barat dan kroni mereka dalam negeri yang sudah lama ingin melihat Umno ditumbangkan supaya kerajaan ditadbir oleh golongan Melayu yang lebih lemah serta rela menjadi kuda tunggangan kepada Barat.

Pengikut Pas patut melihat bahawa wakil rakyat mereka mengumpul kekayaan untuk diri sendiri dan bertanya apakah agama atau perkembangan agama sudah berubah di negeri yang diperintah puluhan tahun? Apakah fatwa yang dikelirukan mendatangkan kebaikan kepada orang Islam?

Tidakkah semua ini pembohongan yang nyata apabila yang tercunggap-cunggap untuk mendapatkan sedikit habuan hidup ialah orang Melayu di bawah kerajaan yang ditadbirkan oleh mereka? Apakah sebenarnya Islam yang dituntut agama itu boleh dibangunkan oleh Pas tanpa sokongan Umno?

0 ulasan: