Isnin, 14 Februari 2011

Dasar Ekonomi Baru (DEB)

MALAYSIAKINI - 130211

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah disalah-gunakan oleh orang Melayu bagi mendapatkan kekayaan segera tetapi mempertahankan agar program kontroversial itu diteruskan.

Ketika menyampaikan ucaptama pada majlis Simposium Dilema Melayu anjuran Persatuan Alumni Aspirasi Semalaysia (Aspirasi) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini, Dr Mahathir berkata kumpulan Melayu berkenaan yang sebenarnya menyebabkan sasaran mendapatkan 30 peratus ekuiti bumiputera tidak tercapai.

"Saya malu, saya sering mempertahankan DEB tapi sedar kalau segala peluang yang diwujudkan dalam DEB digunakan oleh orang Melayu, hari ini kita bukan sahaja (akan) mendapat 30 peratus kekayaan negara tetapi lebih daripada itu.

"Kita selalu membuat apa yang membinasakan usaha kerajaan untuk majukan Melayu," katanya di hadapan kira-kira 2,000 hadirin.

Namun di sebalik kepincangan itu, Dr Mahathir tegas mahukan DEB dipertahankan kerana membubarkan dasar itu akan menyebabkan orang Melayu kerugian, termasuk mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.

Masalah pelaksanaan

"Masalahnya bukan polisi tetapi pelaksanaan. (Sepatutnya) jika mereka salah guna, mereka tidak boleh mendapatkan bantuan lagi,” katanya.

Dr Mahathir berkata DEB perlu diteruskan kerana orang Melayu belum mencapai kuota yang ditetapkan, untuk itu, orang Melayu perlu terus berusaha bagi mengelakkan mereka menjadi bangsa termundur di negara ini.

Menurutnya orang Melayu menyalah-gunakan keistimewaan mereka dengan menjual permit dan lesen yang dikhususkan kepada mereka mengikut DEB.

"Dapat AP jual AP, dapat kontrak jual kontrak. Orang cepat kaya tak kekal. Siapa punya salah? Kita punya.

"Sebab kita tak berusaha jadi terpaksa kekalkan tongkat sakti kita. Sesiapa kata tamatkan, buang tongkat, kita marah, kata ini hak kita sebagai tuan.

"Mungkin dulu kita tuan tanah tapi tak jadi dah, dah jual dah.

Beliau berkata orang Melayu kini sanggup menggadai apa sahaja yang mereka ada untuk mendapatkan kuasa dan memecah belahkan orang Melayu sehingga menjadi lemah.

Mengenai ketuanan Melayu yang sering disebutkan mutakhir ini, katanya orang Melayu perlu berusaha, mempunyai sumber kewangan yang halal dan cukup sekiranya mahu mengekalkan konsep tersebut.

"Kalau nak jadi tuan kena lengkapkan diri dengan ilmu dan kecekapan, apakah dapat jadi tuan sedangkan orang lain suruh kita buat kerja yang bukan kerja tuan, kalau nak majukan diri, mesti tolak nilai hidup yang tidak sesuai dengan kemajuan pada masa kini," katanya.

Dr Mahathir juga mengingatkan orang Melayu agar tidak terlalu taksub untuk menambah pendapatan walaupun negara kini berhasrat untuk mencapai negara berpendapatan tinggi kerana ia boleh mendorong kepada perbuatan rasuah.

Dituduh rasis

"Kita perlu teruskan perjuangan untuk beri tempat yang mulia, ataupun takut dituduh sebagai rasis dan berdiam diri, biarkan orang lain menidakkan hak kita di Semenanjung Tanah Melayu," katanya.

Dr Mahathir berkata sekiranya dilema Melayu hendak diselesaikan, orang Melayu perlu memikirkan sifat-sifat yang ada pada diri mereka dengan membuang segala sikap buruk dan menambah sikap yang lebih baik yang tiada dalam diri orang Melayu itu sendiri.

Dr Mahathir juga berkata, orang Melayu pada masa kini berhadapan dengan dilema yang besar apabila mereka tidak lagi boleh berkata tentang bangsa sendiri kerana akan dilabelkan sebagai rasis.

"Kita jadi serba salah, kalau diam diri maka pendapat yang dikeluarkan mungkin akan diterima, kalau kita jawab mungkin akan dituduh rasis, saya bukan rasis saya cuma sebut benda yang benar, bila sebut bangsa kita maka kita akui bangsa itu, kita patut bermegah kita adalah orang Melayu," katanya.

Menurutnya lebih malang, jika orang Melayu pula tidak mampu mempertahankan diri sendiri.

Ini kerana, katanya, orang Melayu lebih banyak mengalah dan berundur diri kononnya dengan cara itu lebih mudah untuk mendapatkan keamanan.

''Kita selalunya malu alah pada bangsa lain dan tidak berani menyebut perkara yang benar dan ini merugikan kita kerana kita tidak berniat untuk merampas hak mereka.

''Jika kita terus berpegang kepada nilai ini, maka kedudukan kita akan terhakis,'' katanya.

Menurut Dr Mahathir akan tiba sehingga pada satu tahap, orang Melayu tidak lagi boleh mengatakan bahawa negara ini adalah tanah air mereka dan seolah-olah Melayu ini adalah pendatang sama seperti pendatang lain.

Beliau berkata orang Melayu perlu mengamalkan nilai hidup yang lebih berkualiti dengan berusaha, menuntut ilmu dan sentiasa merebut peluang yang ada kerana elemen itulah yang akan menentukan maju atau mundurnya sesuatu kaum itu.

"Kita diberi peluang, tetapi tidak ambil peluang itu, saya tertanya-tanya bila pergi universiti mengapa ramai mahasiswa wanita, mana pergi lelaki, adakah mereka ini bodoh atau tidak rebut peluang untuk baiki masa depan mereka," katanya.

Ahad, 13 Februari 2011

Melayu dalam dilema besar – Dr. M


UTUSAN - 130211
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
dan MUHAMAD ZAID ADNAN

KUALA LUMPUR 12 Feb. – Orang Melayu hari ini berada dalam dilema besar apabila tidak lagi boleh bercakap mengenai kepentingan Melayu kerana akan dikatakan rasis.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, lebih malang lagi orang Melayu tidak mampu mempertahankan diri sendiri kerana lebih banyak mengalah dan mengundur diri kononnya dengan cara itu mudah untuk mendapatkan keamanan.

Malah katanya, sehingga pada satu tahap mereka tidak lagi boleh mengatakan bahawa negara ini adalah tanah air bagi orang Melayu.

Menurutnya, beliau sendiri menjadi sasaran kritikan termasuk oleh akhbar-akhbar bahasa ibunda walaupun apa yang dinyatakannya mengenai orang Melayu adalah benar.

“Kita selalunya malu alah kepada bangsa lain dan tidak berani menyebut perkara yang benar dan ini merugikan kerana kita tidak berniat untuk merampas hak mereka.

“Jika kita terus berpegang kepada nilai ini, maka kedudukan kita akan terhakis,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Dilema Melayu anjuran Persatuan Alumni Aspirasi Semalaysia (Aspirasi) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dan Presiden Aspirasi, Mohd. Shahar Abdullah.

Dr. Mahathir berkata, dilema yang dihadapi itu berpunca daripada sikap orang Melayu sendiri yang tidak menggunakan peluang yang ada untuk mencapai kemajuan.

Beliau memberi contoh, sekiranya orang Melayu benar-benar menggunakan peluang daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB), kedudukan ekonomi mereka sebenarnya boleh melebihi 30 peratus seperti yang diperuntukkan.

Tambahnya, orang Melayu juga terlalu mengikut nafsu sehingga ada yang sanggup memecahbelahkan kaum sendiri dan menggadai maruah bangsa semata-mata sikap tamak dan gila untuk berkuasa.

Keadaan itu kata beliau, menyebabkan orang Melayu menjadi lemah dan terpaksa bergantung kepada kaum minoriti walaupun pada hakikatnya Melayu merupakan kaum majoriti di negara ini.

“Apabila orang Melayu mula bergantung kepada kaum minoriti, maka kita terpaksa menyerahkan apa yang sepatutnya menjadi hak orang Melayu. Inilah sebenarnya dilema kita,” katanya.

Dr. Mahathir menambah, sekiranya orang Melayu tidak sanggup menukar nilai hidup yang dipegang ketika ini, mereka tidak mungkin mencapai apa jua matlamat dan menjadi bangsa termundur di negara ini.

Kerana itu kata beliau, untuk menjadi ‘tuan’ dalam erti kata sebenar, orang Melayu perlu menukar nilai hidup yang tidak sesuai dengan kemajuan, menguasai ilmu dan kemahiran serta berkuasa dari sudut ekonomi.

Khamis, 10 Februari 2011

Masa depan orang Melayu



Oleh NIZAM YATIM
rencana@utusan.com.my (10/02/2011)

THE Malay Dilemma adalah buku penuh kontroversi karya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang diterbitkan pada 1970. Buku dalam bahasa Inggeris itu diharamkan kerajaan dan pengharaman hanya ditarik balik selepas beliau menjadi Perdana Menteri, 11 tahun kemudian. Pada 1982, buku itu turut diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan tajuk Dilema Melayu.

Dalam naskhah 222 halaman tersebut, Dr. Mahathir memberikan pandangan berterus-terang mengenai sikap orang Melayu yang disifatkannya sebagai tidak progresif berbanding dengan orang Cina. Beliau juga menerangkan sebab-sebab tercetusnya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Dr. Mahathir turut menyifatkan orang Melayu sebagai kaum yang lebih suka mendapatkan keuntungan dalam jangka masa pendek, tidak suka berusaha keras dan tidak rajin seperti orang Cina. Beliau juga mengkritik sikap orang Melayu yang berkongsi niaga dengan orang Cina kerana mereka lebih cenderung menerima jumlah wang yang tetap bagi lesen perniagaan dimiliki dan langsung tidak mengambil bahagian dalam perniagaan terbabit.

Selain itu, beliau turut memberi amaran andainya semua perlindungan yang dinikmati kaum Melayu sekarang, hasil daripada kuasa politik yang mereka miliki dimansuhkan, maka orang Melayu akan berdepan semula dengan hukum primitif iaitu mereka yang terkuat dan sihat sahaja akan terus hidup.

Banyak lagi dilema lain yang dikupas beliau dalam buku yang mempunyai 11 bab yang menyentuh pelbagai topik termasuk Dilema Ekonomi Melayu, Pengertian Persamaan Kaum, Pemulihan Bangsa Melayu dan Dilema Melayu, Tatasusila dan Sistem Nilai Melayu serta Politik Perkauman dan Parti.

Bagaimanapun, setelah hampir 41 tahun buku itu diterbitkan, tiada siapa membuat penilaian terperinci sejauh mana dilema berkenaan dapat diatasi. Sehubungan itu, Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) yang dianggotai bekas pemimpin mahasiswa universiti tempatan mengambil inisiatif untuk mengadakan Simposium Dilema Melayu: Perspektif dan Konklusi pada Sabtu ini.

Pada tarikh berkenaan, Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan bergema dengan suara-suara anak muda membincangkan kembali segala dilema yang pernah dibangkitkan Dr. Mahathir dalam bukunya.

Mengulas perkara itu, Presiden Aspirasi, Mohd. Shahar Abdullah menjelaskan, simposium sehari itu bertujuan membangkitkan kesedaran golongan muda tentang pentingnya mereka menyumbang idea bernas bagi memastikan segala dilema berkenaan dapat diatasi secara kolektif.

''Penganjuran simposium ini tidak harus dilihat sebagai provokasi terhadap kaum lain atau cubaan untuk menidakkan gagasan 1Malaysia.

''Sebenarnya, apabila kita membicarakan gagasan 1Malaysia, kita tidak boleh melupakan komponen terbesar di dalamnya iaitu orang Melayu. Mana mungkin penyatuan rakyat berbilang kaum dapat dilaksanakan jika dilema orang Melayu masih belum diselesaikan," katanya.

Jelas beliau, antara topik utama yang akan dibincangkan adalah sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti yang belum tercapai dan juga dilema generasi muda sekarang apabila terdapat pihak tertentu yang mahukan mereka mewarisi ideologi politik sempit yang penuh dengan prasangka yang hanya akan mewujudkan perpecahan sesama Melayu.

Dalam pada itu, Naib Presiden II Aspirasi yang juga pengarah program simposium berkenaan, Mohd. Zafry Mohd. Yunus memberitahu, Dr. Mahathir akan menyampaikan amanat penting kepada golongan muda berhubung kesudahan buku tulisan beliau itu ketika sesi ucaptama pada sebelah pagi.

Katanya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pula akan berkongsi pandangan mengenai kedudukan bumiputera dalam konteks Model Baru Ekonomi ketika berucap pada sesi makan tengah hari, diikuti sesi diskusi ekonomi bertajuk "Milikan 30 Peratus Ekuiti Bumiputera Menjelang 2020, Bagaimana dan Dimana Melayu?" yang akan dipengerusikan Penasihat Syariah Affin Islamic Bank Berhad, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Empat ahli panel pada sesi berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Sanusi Junid; Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dan bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), Datuk Salleh Majid.

Sesi diskusi politik bertajuk "Cabaran Kepimpinan Melayu Di Masa Hadapan" pula akan dipengerusikan oleh bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Nordin Kardi. Ahli-ahli panel pada sesi berkenaan ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad; Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali. Majlis Makan Malam Perdana akan diadakan pada penghujung simposium yang dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohd. Zafry juga menjelaskan walaupun majoriti 2,000 peserta yang akan hadir adalah belia berusia antara 18 hingga 45 tahun, pihaknya turut membuka pintu kepada individu di luar lingkungan usia berkenaan. Mereka yang ingin turut serta masih boleh berbuat demikian dengan membayar yuran penyertaan sebanyak RM100.

Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, kunjungi laman web www.dilemamelayu.com atau hubungi 012-2272015 atau 013-2233545. Pendaftaran juga boleh dibuat di kaunter masuk pada pukul 8.30 pagi sebelum simposium bermula.

Diharapkan semua peserta simposium dapat mengemukakan pandangan demi masa depan orang Melayu terutama pada sesi soal jawab nanti. Untuk mereka, kata-kata Dr. Mahathir dalam pendahuluan buku Dilema Melayu mungkin boleh dijadikan panduan:

''Buku ini diterbitkan bukanlah dengan maksud hendak mencari popular dari kalangan masyarakat tertentu di Malaysia. Sebaliknya, besar kemungkinan ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati golongan tertentu dan kemarahan golongan lain. Tiada maaf yang dipinta - apa yang saya tulis telah ditulis dengan ikhlas."